Dari Meja Ketua Pengarah Eksekutif

Oleh Ustaz Hasri Bin Hassan
 

    Tujuh dasawarsa bukanlah satu tempoh yang singkat untuk dilalui, tempoh yang sebegitu bagi sesebuah pertubuhan dan persatuan pastinya melambangkan kematangan dan keutuhan dirinya disegenap aspek. Namun adakah Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir ( PMRAM ) yang dibarisi oleh majoriti golongan ugamawan sebagai satu wadah perjuangan mahasiswa islam di Perlembahan Nil  ini, selepas melalui tempoh tersebut mampu membuktikan kematangan dan keutuhannya kepada dunia mahasiswa dan masyarakat.

   Kita sama-sama memaklumi perjuangan mahasiswa dan peranan mereka perlu dinilai sebagai aset yang penting dalam pembangunan negara dan masyarakat. Mahasiswa selaku bakal pemimpin negara dan penggerak massa seharusnya menyedari peranan yang mesti dimainkan oleh mereka dalam menentukan arah tuju masyarakat dan membawa mereka kepada penghayatan manhaj Islam. PMRAM yang dianggotai oleh mahasiswa al-Azhar, golongan yang dikenali terpimpin dengan asas keislaman, keilmuan dan pengorbanan, kita dilihat sebagai sebuah organisasi yang tertuntut untuk melunasi matlamat ini. Justeru Ihsas 2001, program sambutan bersempena ulangtahun PMRAM yang ke 70 dianjurkan sebagai usaha mengembalikan sensitiviti seluruh mahasiswa islam diperlembahan ini akan peranan dan tugas sebenar mereka kepada agama, bangsa dan tanah air tercinta.

    Program yang julung-julung kali dianjurkan oleh persekutuan melayu republik arab mesir ini dibarisi oleh ahli-ahli jawatankuasa pelaksana terbaik yang digabungkan hasil cadangan daripada pihak BKAN dan DPM. Kerjasama dan bantuan daripada pihak BKAN dan DPM yang tidak berbelah bagi kepada penaungnya ini cukup melayakkan pimpinan dan ahlinya dikalungkan kalam penghargaan. Semoga kesatuan dan kebersamaan ini tetap teguh dan terus dinikmati oleh golongan pengganti yang akan datang. Pihak pimpinan PMRAM meletakkan objektif dan matlamat yang cukup tinggi dan jauh terhadap perlaksanaan program ini . Program yang melibatkan seluruh ahli pmram dan jemputan-jemputan kehormat yang terdiri daripada bekas-bekas pimpinan pmram terdahulu, wakil-wakil pimpinan mahasiswa dalam dan luar negara dan tidak ketinggalan wakil-wakil mahasiswa asean di perlembahan ini sudah cukup menggambarkan kesungguhan pmram meletakkan dirinya sebagai persatuan mahasiswa islam yang berperanan dan disegani diarena antarabangsa.

    Penglibatan dan komitmen ahli amat-amat diharapkan dan menjadi tunjang utama kejayaan program ini. Penglibatan seluruh ahli dalam sebarang bentuk samada selaku ahli jawatankuasa khas, ahli jawatankuasa kecil, pembantu-pembantu sukarela atau mungkin hanya sebagai seorang peserta bukanlah sebagai ukuran utama sumbangan yang diharapkan. Kita boleh berperanan mengikut kemampuan diri masing-masing dan sikap mencipta alasan, egois dan berpandangan buruk harus dikikis demi menjamin terhasilnya gerak kerja kolektif  yang positif.

    Program yang disebut sebagai ‘ program supermega’ ini  pastinya memerlukan kesungguhan dalam setiap tindakan kalau kita benar-benar ingin melihat ia berjaya. Sebarang permasalahan, kecuaian, kritikan, hambatan perasaan gusar dan kebimbangan perlu dinilai sebagai suatu yang positif dan relevan dan perlu di atasi dengan bijak dan bekerjasama. 

     Proses sebaran maklumat dan promosi sedang giat dijalankan oleh jentera pelaksana ihsas 2001. Pelbagai tanggapan dan reaksi ahli terhadap program besar yang cuba dianjurkan ini. Menerusi iklan-iklan, laman web dan pamplet-pamplet khas yang diagihkan kepada setiap ahli, kami barisan pelaksana ihsas mengharapkan agar semua pihak dapat memaklumi objektif dan matlamat perlaksanaan program ini seterusnya menunjukkan respon yang positif. Usaha ini juga diharapkan dapat meraih minat seluruh ahli untuk bersama-sama menjayakannya justeru, komitmen dan rasa tanggungjawab dan kecintaan ahli kepada kesatuan dan persatuan ini dapat dipugar kembali. Kita akan turut sama mampu menilai senstiviti azhari sebagai seorang mahasiswa islam akan peranan dan tindakan yang sepatutnya dimainkan dan dilunaskan oleh mereka. Dengan kefahaman ini seluruh ahli diseru memberikan sokongan dan dokongan terbaik dan tidak berbelah bagi dalam menjayakan sambutan ini dan menunjukkan contoh teladan terbaik kepada tetamu-tetamu jemputan.   

    Kita menyedari meskipun masa persediaan Ahli Majlis Eksekutif dan jentera-jenteranya nampak kesuntukan yang membayangkan seakan-akan mustahil untuk kita menggerakkan suatu program sambutan yang cukup besar ini, namun sebenarnya persediaan awal gerak kerja program ini telah dimulakan sejak tahun lalu lagi dan terus diperhebatkan sekarang ini. Perbincangan demi perbincangan antara Badan Pengurus PMRAM ,HEWI PMRAM dan pimpinan BKAN/DPM telah diadakan berperingkat-peringkat dengan mengambil kira pandangan-pandangan sahabat-sahabat pimpinan mahasiswa di Malaysia dan luar negara. Pemilihan April untuk program ini juga adalah hasil kesepakatan bersama PMRAM, GAMIS dan GPIMS setelah dinilai beberapa aspek. Kita berharap hasil permuafakatan itu ada hikmah dan baiknya untuk semua pihak.

     Berkat hubungan yang terjalin dengan pimpinan mahasiswa tempatan dan luar negara kita berjaya memanipulasikan kekuatan yang ada untuk melahirkan IHSAS 2001. Kita optimis dengan niat suci kerana Alllah S.W.T, usaha yang telah dilakukan setakat ini dan berkat gemblengan komitmen seluruh ahli PMRAM, IHSAS 2001 bukanlah suatu mimpi pada siang hari. Pun begitu, optimis ini perlu digarap dengan usaha yang bersungguh-sungguh dari segenap jentera PMRAM baik dari yang sebesar-besarnya hinggalah sekecil-kecilnya.

     Dikesempatan ini pihak kami ingin memaklumkan beberapa gerak kerja yang telah dijalankan dengan harapan seluruh ahli pmram dapat mengikuti perkembangan terkini ihsas 2001 sejak dari awal lagi. Proses jemputan melalui surat jemputan rasmi kepada sahabat-sahabat universiti tempatan telah kita keluarkan dan menerima respon yang cukup positif daripada pihak mereka. Melalui wakil kita yang diketuai oleh Bendahari Kehormat PMRAM Ustaz Aznawi Amri telah mengadakan pertemuan tertutup dengan pihak mereka. GAMIS melalui presidennya Saudara Kamarulzaman telah memaklumkan akan menghantar sekurang-kurangnya 10 perwakilan kepersidangan. Mereka turut menjanjikan kerjasama terbaik terhadap usaha ini. Pihak Kita sentiasa berhubung dengan mereka melalui teknologi internet dan wakil di Malaysia untuk memantapkan lagi persediaan. Kita turut mengadakan perbincangan yang melibatkan tiga pihak antara PMRAM (Mesir), GAMIS (Malaysia) dan GPIMS (United Kingdom) melalui Yahoo conference, setakat ini sudah tiga kali perbincangan diadakan untuk menetukan format perbincangan dipersidangan itu nanti. Untuk mencapai kata sepakat maklumat telah disebarkan kepada institut pengajian tinggi tempatan dan luar negara melalui induk ini.

     Pihak GPIMS juga turut menyatakan persetujuan untuk menghantar wakilnya melalui presidennya Saudara Cairul Iqbal. Malah keanggotaan baru GPIMS turut mengikuti perkembangan terutama dari Yemen dan Jepun. Perbincangan dan taklimat akan dilanjutkan semasa pertemuan dengan wakil kita nanti di dalam Persidangan Tahunan Gabungan Pelajar Islam Malaysia Sedunia (GPIMS) di Mina dan wakil khas PMRAM ke Malaysia untuk bertemu dengan pimpinan-pimpinan IPT tempatan InsyaAllah.

     Alhamdulillah, walaupun berlaku sedikit kekurangan tenaga dengan keberangkatan beberapa tenaga utama IHSAS ke Mekah, namun mereka di sana turut membawa misi di dalam Persidangan Tahunan GPIMS di Mina. Kita berharap impak yang bakal dinatijahkan dalam pertemuan tersebut amat memberangsangkan di samping usaha mendapatkan penaja (sponsor) diteruskan di sana. Yang lebih penting, pergantungan kita kepada al-Khaliq mengharapkan doa jemaah haji PMRAM yang lebih 180 orang itu agar IHSAS berjaya dengan bantuan daripadanya.

    Untuk memantapkan lagi proses persiapan dan sistem maklumat Markaz IHSAS telah diwujudkan di Rumah Johor bersebelahan dengan Eksekutif Penerbitan IHSAS yang sedang giat menyiapkan Majalah IHSAS (terbitan khas70 tahun PMRAM). Markaz IHSAS turut bakal diwujudkan di DPM melalui eksekutif promosi dan pusat maklumat untuk melicinkan lagi proses  perhubungan dan maklumat kepada ahli.

    Perhatian dan kerjasama yang diberikan oleh penasihat kehormat yang terdiri daripada pelbagai profesyen setakat ini menunjukkan sokongan yang cukup padu dan amat membanggakan. Dato’ Duta Besar Malaysia di Kaherah telah memaklumkan beberapa bentuk kerjasama yang positif hasil kunjung hormat Badan Pengurus PMRAM dan YDP BKAN dan DPM baru-baru ini. Telefax mutakhir yang diterima daripada Yang Dipertua Persatuan Bekas Mahasiswa Islam Timur Tengah ( PBMITT ), Ustaz Ismail Abd Halim  telah menyenaraikan beberapa nama dif jemputan kehormat terdiri daripada bekas-bekas kepimpinan PMRAM terdahulu yang mendaftarkan nama mereka di bawah Persatuan ini. YDP Persatuan Ulama’ Malaysia, Ustaz Abd Ghani Shamsudin turut sama membantu memudahkan urusan jemputan ahli-ahli panel keprogram ini dan berusaha mengaturkan perbincangan di Pejabat PUM bagi melancarkan lagi strategi perlaksanaan slot mereka.Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah Ustaz Wan Bakar turut sama membantu menguruskan urusan jemputan Menteri Pendidikan dan beberapa ahli panel yang lain keprogram ini. Kita menantikan jawapan yang positif daripada mereka. Permohonan tajaan yang kita kemukakan kepada pihak MAS telah mendapat perhatian yang sewajarnya daripada En. Khalid selaku Pengurus MAS kawasan.

    Dari sudut kewangan, kita bekerja keras untuk menambah tabung kewangan IHSAS. Proses mendapatkan sponsor ini digiatkan lagi dengan penubuhan skuad khas mencari penaja. Penghasilan terjemahan kertas kerja ke dalam bahasa Arab dan bahasa Inggeris diharap dapat merancakkan lagi usaha ini. Usaha ini turut melibatkan beberapa sahabat pimpinan kita yang telah pulang ke tanah air sebagai wakil rasmi pmram. Selain daripada itu pendaftaran segera ahli-ahli PMRAM turut diharapkan demi memastikan persediaan kewangan yang lebih kukuh.

     Selain daripada itu untuk menggiatkan lagi proses promosi, selain daripada iklan-iklan menerusi poster,diari dan kalendar perancang PMRAM, kita memanipulasikan sepenuhnya kemahiran yang ada di bidang teknologi maklumat (IT) untuk tujuan ini selamat melayari laman web promosi IHSAS di alamat http://ihsas.tripod.com atau http://ihsas.cjb.net yang dilancarkan baru-baru ini dan akan terus dikemaskinikan dari semasa ke semasa sebagai sumber maklumat. Kita juga akan dapat melihat banner IHSAS tergantung megah di kawasan-kawasan utama mahasiswa Malaysia Insyaallah. Kaedah e-circle dimanfaatkan untuk perhubungan di kalangan AJK manakala e-groups untuk semua ahli PMRAM.Iklan dalam bentuk pamplet ringkas diusahakan sampai ke tangan setiap ahli. Selain itu, majlis promosi khas sedang diatur dengan sesi jaulah ke setiap BKAN dan DPM dengan kerjasama MAS selaku penaja rasmi program ini. Manakala sambutan Hari Raya Aidil Adha dan Muktamar Sanawi PMRAM nanti merupakan kemuncak kepada promosi kepada seluruh ahli. Kita turut merakamkan ucapan terima kasih kepada pemilik kedai-kedai makan yang turut sama membantu mempromosikan IHSAS 2001.

     Pun begitu, ahli PMRAM yang bercuti di Malaysia mungkin merasa sedikit gusar apabila mengikuti perkembangan IHSAS dari jauh rentetan tidak mendapat makluman sepenuhnya tentang gerak kerja IHSAS yang telah dijalankan. Namun kita rasa bangga apabila ada ahli kita di Malaysia yang mengutusi kita bertanyakan khabar tentang IHSAS dan menyuarakan beberapa kebimbangan berkenaan persediaan-persediaan IHSAS yang dirasakan terlalu sempit. Alhamdulillah, kita telah memberi maklum balas dan menerangkan secara terperinci agar semua pihak dapat berlapang dada dan sama-sama membantu menjayakan IHSAS 2001 walau di mana mereka berada. Justeru, seluruh ahli PMRAM diseru agar prihatin terhadap perkembangan IHSAS semoga dengan kecaknaan itu akan membuahkan hasil yang terbaik.

     Buat akhirnya, marilah sama-sama kita merafa’kan setinggi-tinggi kesyukuran dan pengharapan kepada Allah dan sekalung penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh ahli di atas  kerjasama yang telah ditunjukkan dalam menjayakan IHSAS ini. Sumbangan yang telah diberikan oleh kalian untuk IHSAS amat membantu dalam menjayakan program ini. Kita mengharapkan kerjasama yang diberikan akan diteruskan dalam siri-siri gerak kerja yang seterusnya. Sesungguhnya, bukan kita sahaja yang bersengkang mata meluangkan waktu meletihkan diri menyumbang tenaga dan buah fikiran, bermesyuarat dan berbincang untuk melahirkan gerak kerja yang mantap lagi jitu, malah sahabat-sahabat kita di Malaysia dan serantau dunia turut memikirkan agenda ini…..bertemu lagi dikeluaran depan..