Dari Meja Ketua Pengarang

Oleh Zairol Al-Adeeb

    Tujuh puluh tahun sudah PMRAM mengorak langkah selaku wadah perjuangan mahasiswa di Perlembahan Nil ini. Perjuangan mahasiswa dan peranan mereka perlu dinilai sebagai aset yang penting dalam pembangunan negara dan masyarakat. Mahasiswa selaku bakal pemimpin negara dan penggerak massa seharusnya menyedari peranan yang mesti dimainkan oleh mereka dalam menentukan arah tuju masyarakat dan membawa mereka kepada penghayatan manhaj Islam. Sebagai mahasiswa Al-Azhar yang terpimpin dengan asas keislaman, keilmuan dan pengorbanan, kita dilihat sebagai golongan yang tertuntut untuk melunasi matlamat ini. Justeru, Perayaan Menyambut Ulangtahun ke- Tujuh Puluh Tahun PMRAM (IHSAS 2001) diadakan sebagai usaha mengembalikan sensitiviti seluruh massa mahasiswa Islam akan peranan dan tugas sebenar mereka kepada agama, bangsa dan tanah air tercinta.

Program supermega ini punya matlamat yang jauh dan panjang. Meskipun masa persediaan ahli Majlis Eksekutif dan jentera-jenteranya agak suntuk, seakan-akan mustahil untuk kita menggerakkan suatu program sambutan yang cukup besar ini, namun sebenarnya persediaan awal gerak kerja di sebalik tabir telah dimulakan sejak tahun lalu. Perbincangan demi perbincangan Badan Pengurus dan HEWI PMRAM telah dibuat dengan mengambil kira pandangan-pandangan sahabat-sahabat pimpinan mahasiswa di Malaysia dan luar negara. Pemilihan April untuk program ini juga adalah hasil kesepakatan  tiga pihak iaitu PMRAM, GAMIS dan GPIMS setelah dinilai beberapa aspek. Kita berharap hasil muafakat itu ada hikmahnya dan baiknya untuk semua pihak.

 

Berkat hubungan yang terjalin dengan pimpinan mahasiswa tempatan dan luar negara kita berjaya memanipulasikan kekuatan yang ada untuk melahirkan IHSAS 2001. Kita optimis dengan niat suci kerana Alllah, usaha yang telah dilakukan setakat ini dan berkat gemblengan komitmen seluruh ahli PMRAM, IHSAS 2001 bukanlah suatu mimpi pada siang hari. Pun begitu, optimis ini perlu digarap dengan usaha yang bersungguh-sungguh dari segenap jentera PMRAM baik sebesar-besarnya hinggalah sekecil-kecilnya.

Surat jemputan rasmi untuk sahabat-sahabat universiti tempatan telah kita keluarkan. Pihak mereka telah menyatakan persetujuan untuk menghantar wakil ke persidangan tersebut. Kita sentiasa berhubung dengan mereka untuk makluman terkini. Mesyuarat tiga serangkai melalui Yahoo conference telah diadakan sebanyak tiga kali untuk mencapai kata sepakat antara PMRAM (Mesir), GAMIS (Malaysia) dan GPIMS (United Kingdom) maklumat telah disebarkan kepada institut pengajian tinggi tempatan dan luar negara melalui induk ini. Pihak GPIMS juga telah menyatakan persetujuan untuk menghantar wakil. Malah keanggotaan baru GPIMS turut mengikuti perkembangan terutama dari Jepun. Perbincangan dan taklimat akan dilanjutkan semasa pertemuan dengan wakil kita nanti iaitu dalam Persidangan Tahunan Gabungan Pelajar Islam Melayu Sedunia (GPIMS) di Mina dan pertemuan khas wakil PMRAM ke Malaysia dengan pimpinan-pimpinan IPT tempatan.

 

Alhamdulillah, setakat ini proses persediaan sedang giat dijalankan. Walaupun berlaku sedikit kekurangan tenaga dengan keberangkatan jemaah haji ke Mekah, namun mereka di sana turut membawa misi IHSAS 2001 dalam Persidangan Tahunan GPIMS. Kita berharap impak yang bakal dinatijahkan dalam pertemuan tersebut amat memberangsangkan di samping usaha mendapatkan penaja (sponsor) diteruskan di sana. Yang lebih penting, pergantungan kita kepada Al-Khaliq mengharapkan doa jemaah haji PMRAM yang 180 lebih itu agar IHSAS berjaya.

 

Markaz IHSAS telah diwujudkan di Rumah Johor bersebelahan dengan Eksekutif Penerbitan IHSAS yang sedang giat menyiapkan Majalah IHSAS (terbitan khas70 tahun PMRAM). Markaz IHSAS turut diwujudkan di DPM untuk melicinkan perhubungan.

 

Permohonan tajaan yang kita kemukakan kepada pihak MAS telah mendapat perhatian yang sewajarnya. Setakat ini penasihat kehormat yang terdiri daripada pelbagai profesyen menunjukkan sokongan yang cukup padu. Telefax mutakhir yang diterima daripada Presiden Persatuan Bekas Penuntut Timur Tengah, Ustaz Ismail Abd Halim  telah menyenaraikan beberapa dif jemputan kehormat yang merupakan bekas-bekas kepimpinan PMRAM yang mendaftar di bawah Persatuan Bekas Penuntut Timur Tengah. *[YDP Persatuan Ulama’ Malaysia, Ustaz Abd Ghani Shamsudin telah membantu untuk dijayakan pertemuan dengan tiga orang panelis, Us Yaakob, Dr Aziz dan Syed Azman untuk perbincangan dengan wakil yang pulang ke Malaysia mengenai strategi perlaksanaan slot mereka dan pilihan soalan-soalan yang terbaik bagi panelis]

Selain mereka penasihat kehormat turut terdiri daripada Duta Besar Malaysia ke Kaherah, TYT Dato’ Hj Abu Bakar Daud, Pengarah JPM, Ustaz Wan Bakar Wan Dagang dan Pengurus MAS kawasan, En Khalid Abd Samad. Dato’ Duta telah memaklumkan beberapa bentuk kerjasama yang positif hasil kunjung hormat Badan Pengurus PMRAM dan YDP BKAN dan DPM baru-baru ini. Persediaan untuk tetamu-tetamu kehormat telah disusun dari sudut pengangkutan, penempatan dan pengisian mereka sepanjang berada di sini. Alhamdulillah, kita telah mendapat kerjasama daripada BKAN untuk urusan penempatan termasuk Sabah.

 

Dari sudut kewangan, kita bekerja keras untuk menambah tabung kewangan IHSAS.

Pihak MAS dan SIA setakat ini amat positif untuk bertindak sebagai penaja. Proses mendapatkan sponsor ini digiatkan lagi dengan penubuhan Skuad Khas Mencari Penaja, penghasilan terjemahan kertas kerja ke dalam bahasa Arab dan bahasa Inggeris dan Perjanjian Khusus Penaja sebagai usaha untuk meluaskan lagi alternatif penaja.

 

Proses promosi sedang giat dijalankan. Tidak lama lagi anda akan dapat melihat banner IHSAS tergantung megah di kawasan-kawasan utama mahasiswa Malaysia. Selain iklan-iklan menerusi poster,diari dan kalendar perancang PMRAM, kita memanipulasikan sepenuhnya kemahiran yang ada di bidang teknologi maklumat (IT) untuk tujuan ini. Selamat melayari laman web promosi IHSAS di alamat http://ihsas.tripod.com atau http://ihsas.cjb.net yang dilancarkan baru-baru ini dan akan dikemaskinikan dari semasa ke semasa sebagai sumber maklumat. Kaedah e-circle dimanfaatkan untuk perhubungan di kalangan AJK manakala e-groups untuk semua ahli PMRAM.Iklan dalam bentuk pamplet ringkas sampai ke tangan setiap ahli. Selain itu, majlis promosi khas sedang diatur dengan sesi jaulah ke setiap BKAN dan DPM dengan kerjasama MAS. Manakala sambutan Hari Raya Aidil Adha dan Muktamar Sanawi PMRAM nanti merupakan kemuncak kepada promosi kepada seluruh ahli. Kedai-kedai makan turut membantu promosi disamping turut menyumbangkan dana Insya Allah.

Pun begitu, ahli PMRAM yang bercuti di Malaysia mungkin merasa sedikit gusar apabila mengikuti perkembangan IHSAS dari jauh rentetan tidak mendapat makluman sepenuhnya tentang gerak kerja IHSAS yang telah dijalankan. Namun kita rasa bangga apabila ada ahli kita di Malaysia yang mengutusi kita bertanyakan khabar tentang IHSAS dan menyuarakan beberapa kebimbangan berkenaan persediaan-persediaan IHSAS yang dirasakan terlalu sempit. Alhamdulillah, kita telah memberi maklum balas dan menerangkan secara terperinci agar semua pihak dapat berlapang dada dan sama-sama membantu menjayakan IHSAS 2001 walau di mana mereka berada. Justeru, seluruh ahli PMRAM diseru agar prihatin terhadap perkembangan IHSAS semoga dengan kecaknaan itu akan membuahkan hasil yang terbaik.

 

Buat akhirnya, kita amat bersyukur dengan kerjasama yang ditunjukkan oleh pihak BKAN dan DPM serta seluruh ahli PMRAM amnya dalam menjayakan IHSAS ini. Sponsor-sponsor yang telah diberikan oleh pihak BKAN dan DPM untuk IHSAS amat membantu dalam menjayakan program ini. Kita mengharapkan kerjasama yang diberikan akan diteruskan dalam siri-siri gerak kerja yang seterusnya. Sesungguhnya, bukan kita sahaja yang bersengkang mata meluang waktu bermesyuarat dan berbincang untuk melahirkan gerak kerja yang mantap lagi jitu, malah sahabat-sahabat kita di Malaysia dan serantau dunia turut memikirkan agenda ini…..