Kronologi Pmram...

RESPONSIF MAHASISWA PENGGILAP KREDIBILITI PMRAM

Oleh Ustazah Habibah Binti Tajau Rahim
Ustazah Nurul Huda Binti Abd.Manaf

Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) menelusuri aliran sejarah dan menempuh arus kematangan yang kadangkala menoktahkan kepedihan di atas lembaran jasadnya. Namun, PMRAM yang didokongi ummah mahasiswa terus melebarkan sayap menaungi budaya kemahasiswaan dan kebajikan ahlinya. Dalam derap langkah mengusung Deen Islami ke puncak asal, seringkali menelusuri pelbagai cabaran, dugaan, rintangan dan menuntut pengorbanan yang jitu dalam jerih menggapai impian lantaran paluan ganas badai jahiliyyah dan rempuhan padu arus 'Ilmani meroboh benteng aqidah, syariat serta syaksiah ummah.

Menyingkap kembali jendela sejarah PMRAM yang merupakan satu persatuan yang menaungi anak-anak Melayu di bumi anbiya' ini, membuktikan bahawa persatuan yang didokongi bersama oleh  mahasiswa  Malaysia ini masih tetap utuh biarpun kadangkala ada pihak-pihak tertentu yang cuba untuk menyangkal kesatuan yang ada dan usaha-usaha pihak tertentu untuk menghapuskan PMRAM.

Menyorot kembali sejarah awal pertubuhannya, perubahan demi perubahan dilakukan pada namanya. Pada awal penubuhan  (tahun 1930-an) PMRAM  menggunakan nama putera-putera Semenanjung (PPS) yang diketuai oleh Tuan Amir Nuruddin dari Perak sebagai Yang Di Pertua. Kemudian pada tahun 1953 PPS telah ditukar secara rasmi dengan nama Persekutuan Melayu Mesir (PMM). Nama PMM ini pula telah ditukar kepada  Persekutuan Melayu Republik Arab Bersatu (PMRAB) pada tahun 1965 dan sekali lagi, nama PMRAB mengalami perubahan. Diganti dengan nama Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM).

Setelah sekian lama PMRAM berperanan menaungi seluruh  anak-anak negeri jua muhafazoh, tanpa disedari kini PMRAM telah meniti usia kematangan. 70 tahun bukanlah satu usia yang mudah bagi sesebuah persatuan untuk bertapak sebegitu lama. Namun ia memerlukan semangat juang yang tinggi dalam mempertahankan keunggulan dan ke'izzahannya.

Bertepatan dengan itu, pihak PMRAM di bawah Kementerian Kebajikan Masyarakat Mesir dan Persatuan Bekas-bekas Penuntut Timur Tengah dengan kerjasama daripada seluruh ahli Badan Kebajikan dan Anak Negeri (BKAN) dan Dewan Perwakilan Mahasiswa (DPM), serta kerahan seluruh warga kerjasiswa dan siswi Al-Azhar akan menganjurkan satu perayaan yang gilang-gemilang yang diadakan bagi mengingati jasa PMRAM dan menyambut ulangtahunnya yang ke-70. "Ihtifal Sab'ina Thanah" atau singkatannya IHSAS menjadi nama rasmi bagi sambutan yang akan diadakan pada 9 hingga 14 April 2001.

Perayaan yang julung-julung kalinya diadakan ini akan dirasmikan oleh Menteri Pendidikan Malaysia, Tan Sri Musa Muhammad. Seramai 3000 orang peserta dijangka akan hadir bagi menjayakan program yang menelan belanja sebanyak LE 70,750. Bekas-bekas penuntut Universiti Al-Azhar, perwakilan daripada universiti tempatan dan luar negara serta Persatuan Mahasiswa Asing di Mesir  turut dijemput hadir bagi memeriahkan lagi suasana perayaan ini.

Bertemakan "Bersama memimpin Perubahan", PMRAM cuba menyuntik semangat juang dan pengorbanan di kalangan mahasiswa Al-Azhar dalam usaha mengembalikan sensitiviti mereka terhadap peranan dan tugas sebenar mereka kepada agama, bangsa dan tanahair tercinta.

Mahasiswa merupakan pelapis kepimpinan  di dalam menangani polemik sosiopolitik semasa. Perjuangan dan peranan mereka perlu dinilai sebagai aset penting di dalam pembangunan negara dan masyarakat.

Justeru, mahasiswa selaku bakal pemimpin negara dan penggerak massa seharusnya menyedari peranan yang mesti dimainkan oleh mereka di dalam menentukan arah tuju  masyarakat dan membawa mereka kepada penghayatan manhaj Islam yang sebenar.

Diantara agenda yang bakal mengisi tentatif program sepanjang perayaan ini ialah program berbentuk perbincangan dan pembentangan seperti kolukium, seminar, debat, forum dan pidato perdana serta majlis pelancaran Majalah 70 tahun PMRAM. Agenda utama yang bakal berlangsung ialah Persidangan Mahasiswa Islam Sedunia yang dihadiri oleh wakil-wakil pimpinan mahasiswa Islam dari dalam dan luar negara. Konsert Penyatuan Mahasiswa pula menjadi program kemuncak bagi perayaan ini.

Ruangan pameran  yang akan berlangsung sepanjang program diadakan antaranya akan menampilkan siri sejarah Peradaban dan Kebudayaan Negara, kronologi perjuangan PMRAM dan pameran evolusi PMRAM .

Justeru, selaku mahasiswa Al-Azhar yang terpimpim dengan asas keislaman , keimanan dan pengorbanan, marilah kita melahirkan rasa kecintaan kepada PMRAM dengan menjayakan program ini dan bersama-sama berganding bahu mendokongi aspirasi perjuangan ummah dalam menentukan arah tuju, suara dan tindakan mahasiswa Islam yang berpayungkan aqidah Islamiah yang satu sebagai merealisasikan tuntutan-tuntutan  dasar yang dibawa berpaksikan Al-Quran dan As-Sunnah.