Majlis Perasmian Persidangan Mahasiswa Islam Malaysia Sedunia

oleh Yusri Yusoff

8 April  2001, Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir telah menjadi tuan rumah kepada Persidangan Gabungan  Mahasiswa Islam Malaysia Sedunia (GMIMS) yang akan berlangsung selama dua hari bermula hari ini. Persidangan ini merupakan persidangan tahunan GMIMS  yang ditubuhkan  sejak  tahun 1998.

     Persidangan yang bertemakan "Mengasak Kurun 21" ini dirasmikan oleh Yang Dipertua Persatuan Ulamak Malaysia (PUM)  Ustaz Abd.Ghani Bin Samsudin. Beliau didalam ucapannya tidak menyangka PMRAM  memiliki kekuatan  seperti hari ini dan sekaligus menafikan luahan yang mengatakan mahasiswa yang berada di Perlembahan Nil ini kurang berupaya.

     Ustaz Abd. Ghani yang juga merupakan Pensyarah Fakulti Pendidikan Universiti Malaya turut menekankan beberapa cabaran alaf baru  yang mesti difahami oleh mahasiwa seterusnya dapat menggarapkan langkah-langkah bagi menghadapi cabaran tersebut.  Realiti masyarakat Malaysia juga menurut beliau  mempunyai iltizam keagamaan yang lemah.  Tugas memperkasa iltizam keagamaan ini juga dapat dimainkan oleh GMIMS. Beliau juga menyarankan  agar golongan mahasiswa dapat menyediakan diri untuk menjadi ahli fikir Islam yang mampu merumus  pendidikan Islam semasa. Masyarakat majmuk di Malaysia bukanlah penghalang  kepada perkembangan Islam sekiranya  mereka  diberi kefahaman yang jelas tentang Islam itu sendiri.

     Turut berucap di majlis ini wakil daripada GMIMS saudara Mazlan Ibrahim yang juga mewakili HIZBI, Presiden PMRAM Ustaz Nizam Bin Mohd. Noh dan Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Semenanjung (GAMIS) saudara Kamarulzaman Bin Abdullah.