Majlis
Perasmian Persidangan Mahasiswa Islam Malaysia Sedunia
oleh Yusri Yusoff 8 April 2001, Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir telah menjadi tuan rumah kepada Persidangan Gabungan Mahasiswa Islam Malaysia Sedunia (GMIMS) yang akan berlangsung selama dua hari bermula hari ini. Persidangan ini merupakan persidangan tahunan GMIMS yang ditubuhkan sejak tahun 1998. Persidangan yang bertemakan "Mengasak Kurun 21" ini dirasmikan oleh Yang Dipertua Persatuan Ulamak Malaysia (PUM) Ustaz Abd.Ghani Bin Samsudin. Beliau didalam ucapannya tidak menyangka PMRAM memiliki kekuatan seperti hari ini dan sekaligus menafikan luahan yang mengatakan mahasiswa yang berada di Perlembahan Nil ini kurang berupaya. Ustaz Abd. Ghani yang juga merupakan Pensyarah Fakulti Pendidikan Universiti Malaya turut menekankan beberapa cabaran alaf baru yang mesti difahami oleh mahasiwa seterusnya dapat menggarapkan langkah-langkah bagi menghadapi cabaran tersebut. Realiti masyarakat Malaysia juga menurut beliau mempunyai iltizam keagamaan yang lemah. Tugas memperkasa iltizam keagamaan ini juga dapat dimainkan oleh GMIMS. Beliau juga menyarankan agar golongan mahasiswa dapat menyediakan diri untuk menjadi ahli fikir Islam yang mampu merumus pendidikan Islam semasa. Masyarakat majmuk di Malaysia bukanlah penghalang kepada perkembangan Islam sekiranya mereka diberi kefahaman yang jelas tentang Islam itu sendiri. Turut berucap di majlis ini wakil daripada GMIMS saudara Mazlan Ibrahim yang juga mewakili HIZBI, Presiden PMRAM Ustaz Nizam Bin Mohd. Noh dan Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Semenanjung (GAMIS) saudara Kamarulzaman Bin Abdullah. |